PENJELASAN SYARIKAT SDN BHD

Ramai yang ingin daftar sdn bhd tetapi tidak jelas dengan maksud sdn bhd. Artikel ini akan menjelaskan dengan lanjut mengenai maksud syarikat sendirian berhad dan penjelasan apakah itu yang dikenali sebagai syarikat sendirian berhad.

APAKAH MAKSUD SYARIKAT SDN BHD

Di Malaysia, terdapat 3 jenis akta yang utama bagi membolehkan anda berniaga iaitu Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012. Maksud Syarikat Sdn Bhd adalah apabila perniagaan itu didaftarkan dengan Akta Syarikat 2016. Lain Akta mempunyai entiti perniagaan yang berbeza. Kalau enterprise/perniagaan tunggal didaftarkan dibawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Akta Perkongsian Liabiliti Terhad pula akan mendaftarkan PLT

APAKAH ITU SYARIKAT SDN BHD

Syarikat Sdn bhd ditubuhkan bermatlamatkan keuntungan bagi pemilik saham. Syarikat dikawal oleh pemilik saham melalui pengarah yang akan menjalankan operasi syarikat. Pemilik saham & pengarah boleh menjadi individu yang sama atau berbeza. Syarikat sendirian berhad hanya memerlukan minima seorang pengarah dan pemilik saham. Perbezaan utama syarikat sdn bhd dan syarikat berhad adalah pada penjualan saham. Syariakt sdn bhd tidak boleh menjual saham pada umum tetapi syarikat berhad boleh menjual kepada umum seperti di Bursa Malaysia.

APAKAH CIRI-CIRI SYARIKAT SDN BHD

Ciri-ciri syarikat sendirian berhad adalah seperti dibawah:

  • Tertakluk di bawah Akta syarikat 2016 atau 1965
  • Ahli antara 1 hingga maksima 50 orang
  • Matlamat utama penubuhan syarikat adalah mendapatkan keuntungan bagi pemegang saham
  • Pemilikan syarikat adalah melalui pegangan saham
  • Liabiliti terhad; Jika muflis-rugi setakat modal yg dilaburkan kedalam pegangan saham sahaja
  • Syarikat diuruskan oleh pengarah
  • Pemegang saham boleh mengawal syarikat melalui pengarah
  • Minima lantikan pengarah dan pemegang saham adalah seorang
  • Syarikat Sdn Bhd masih terus wujud walaupun pemilik telah meninggal dunia.
  • Boleh bertukar milik melalui penjualan dan pembelian saham

Bacaan lanjut: Ciri-Ciri Sdn Bhd

KENAPA PERLU DAFTAR SYARIKAT SDN BHD

Anda perlu mendaftar syarikat sdn bhd bagi mendapatkan kelebihan berikut:

  • Liabiliti terhad. Liabiliti terhad bermaksud pemilik syarikat hanya akan rugi terhadap apa yang dilaburkan sahaja. Hal ini pastinya memberikan kelegaan kepada pemilik syarikat. Mereka sudah tahu akan modal ‘hangus’ dan ini membolehkan mereka merancang strategi kewangan. Liabiliti terhad ini juga akan menggalakan usaha keusahawanan kerana nilai kerugian yang terhad
  • Boleh diwarisi. Syarikat sdn bhd dimiliki melalui pemegang saham. Sekiranya sesuatu terjadi kepada pemegang saham, saham itu boleh dijual kepada pemegang saham yang baru. Hal ini menjadikan operasi syarikat sentiasa boleh dikawal selia dan berterusan.
  • Kredibiliti yang tinggi. Pihak bank, kerajaan dan perniagaan lain lebih memandang tinggi terhadap syarikat sdn bhd berbanding entiti lain seperti milikan tunggal atau perkongsian. Dengan ini, bisnes lebih mudah untuk mendapatkan pinjaman, memasuki tender kerajaan atau mendapatkan supplier yang berkualiti.
  • Kadar cukai yang rendah. Kadar cukai syarikat sdn bhd adalah lebih rendah berbanding dengan cukai individu. Malah, perancangan cukai boleh dilakukan secara sah bagi mengurangkan cukai yang dibayar.
  • Dividen syarikat tidak dikenakan cukai. Pemilik syarikat sdn bhd boleh mengambil untung dengan cara mengambil dividen. Baiknya kaedah ini adalah dividen kepada pemilik syarikat tidak dikenakan cukai. Hal ini dapat menjimatkan kos pemilik syarikat.
  • Boleh bertukar milik. Pemilikan syarikat sdn bhd bergantung kepada pemilikan saham. Apabila seseorang itu bertindak menjual saham, dia juga melepaskan hak memiliki syarikat tersebut. Pembeli baru saham tersebut dikira sebagai pemilik baru syarikat.
  • Boleh melantik pengurusan yang profesional. Pemilik syarikat sdn bhd tidak semestinya menjalankan operasi syarikat. Mereka boleh memilih untuk melantik lembaga pengarah yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk mentadbir syarikat seterusnya menjana lebih keuntungan.
  • Mudah mendapat suntikan modal. Modal perniagaan boleh didapati dalam bentuk pinjaman mahupun ekuiti. Syarikat lebih mudah mendapat pinjaman dari pihak bank seperti yang dinyatakan sebelum ini. Bagi suntikan modal ekuiti, ianya boleh dilakukan dengan menambah modal berbayar.
  • Penyata kewangan yang disahkan. Adalah menjadi kewajipan untuk syarikat sdn bhd menyediakan penyata kewangan yand disahkan oleh auditor. Hal ini menambah kredibiliti syarikat disamping memastikan keadaan kewangan syarikat sentiasa dalam keadaan terurus. Syarikat juga mudah untuk meyakinkan pelabur luar berkenaan kewangan syarikat dengan memberi penyata kewangan yang diaudit.
  • Potensi yang besar. Disebabkan pengurusan syarikat yang teratur melalui ahli lembaga pengarah yang profesional dan perlunya laporan audit tahunan, syarikat berpotensi maju ke hadapan dan lebih berdaya saing.

Bacaan lanjut: Promosi Daftar Sdn Bhd

CARA DAFTAR SYARIKAT SENDIRIAN BERHAD

  • Cari 3 nama pilihan yang selari dengan bisnes untuk dipohon sebagai nama syarikat di SSM.
  • Tentukan jumlah modal saham yang akan digunakan didalam syarikat. Ianya boleh bermula dengan RM 1
  • Pilih 3 aktiviti utama perniagaan yang bakal syarikat jalankan.
  • Dapatkan cawangan bank serta alamat bank dimana akaun syarikat akan dibuka.
  • Sediakan salinan kad Pengenalan bagi setiap pengarah serta pemegang saham bagi warganegara Malaysia. Jika bukan warganegara, sila sediakan salinan pasport
  • Sediakan email bagi ahli pemegang saham dan pengarah syarikat
  • Sediakan alamat kediaman terkini pengarah dan pemegang saham dan mestilah di Malaysia
  • Buat pembayaran kepada setiausaha syarikat
  • Kelulusan dalam 3-5 hari bekerja sekiranya tiada masalah didalam serahan pendaftaran syarikat sdn bhd.

Bacaan lanjut: Nama syarikat Sdn Bhd

ADAKAH ENTERPRISE ITU SYARIKAT SDN BHD?

Enteprise/milikan tunggal bukanlah syarikat. Enteprise/milikan tunggal ditubuhkan dibawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Hanya entiti yang ditubuhkan dibawah akta syarikat 2016 seperti sdn bhd atau berhad dikenali sebagai syarikat.

PERBEZAAN SYARIKAT SDN BHD & ENTERPRISE

Berikut adalah perbezaan syarikat sdn bhd & enterprise:

Sdn BhdEnterprise
Akta Syarikat 2016Akta Pendaftaran Perniagaan 1956
Liabiliti TerhadLiabiliti Tidak Terhad
Sesuai untuk peningkatanSesuai untuk permulaan
Kos yang tinggi untuk permulaanKos yang rendah untuk permulaan
Terdapat kos pengurusan tahunanTiada kos pengurusan tahunan
Boleh mempunyai banyak ahliTidak boleh mempunyai banyak ahli
Tinggi kredibiliti dan dipercayaiKredibiliti rendah dan kurang dipercayai
Kadar cukai yang lebih rendahKadar cukai individu yang lebih tinggi
Boleh isytihar dividenTidak ada dividen
Perlu ada setiausaha syarikat & auditTidak perlu setiausaha syarikat & audit

KEPENTINGAN DAFTAR SYARIKAT SENDIRIAN BERHAD

Adakah anda tahu bahawa anda sebagai peniaga perlu mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)?  Anda boleh mendaftar sebagai perniagaan enterprise atau syarikat sdn bhd.

Tidak mendaftarkan perniagaan anda adalah satu kesalahan dan anda boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Dengan mendaftar perniagaan anda sebagai enterprise atau syarikat sdn bhd ianya membolehkan perniagaan anda mendapat pengiktirafan entiti perniagaan yang sah di sisi undang-undang

Anda juga layak sebagai peniaga mendapatkan pelbagai faedah dan kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan seperti (a) perlindungan insuran, (b) kemudahan kredit, (c) kursus dan latihan (d) faedah baik-pulih premis perniagaan (jika ada) dan lain-lain.

Jika anda sudah awal-awal daftar SSM enterprise atau syarikat sdn bhd, adalah lebih mudah untuk anda mendapatkan pekerja kerana mereka yakin untuk berkhidmat dengan syarikat memandangkan bisnes anda kelihatan kukuh dan tersusun. Pembayaran gaji serta KWSP pekerja juga akan menjadi lebih teratur dan sistematik.

Zaman sekarang terutamanya secara online memerlukan tahap kepercayaan yang tinggi antara pelanggan dan peniaga. Jadi, dengan adanya nombor pendaftaran perniagaan, pelanggan lebih yakin dan rasa dilindungi untuk berurus niaga meskipun tidak pernah sekalipun berjumpa secara depan-depan dengan peniaga

CUKAI SYARIKAT SDN BHD

Syarikat Sdn Bhd adalah entiti yang berbeza dari pemilik saham & pengarah. Oleh itu, syarikat Sdn Bhd mempunyai tanggungjawab cukai yang tersendiri. Syarikat Sdn Bhd perlu membayar cukai dalam masa tempoh 7 bulan dari tarikh tutup kewangan (financial year end). Cukai syarikat Sdn Bhd dibayar melalui Form C. Kadar cukai syarikat adalah 24%. Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan modal berbayar tidak lebih RM2.5 juta, pendapatan RM500,000 yang pertama akan dikenakan cukai sebanyak diantara 15% sehingga 17% (bergantung pada tahun) dan seterusnya akan dikenakan cukai sebanyak 24%.

PERBEZAAN CUKAI ENTERPRISE & CUKAI SDN BHD

Bagi enterprise, tanggungjawab membayar cukai adalah keatas pemilik. Oleh itu, keuntungan enterprise dikira sebagai keuntungan pemilik. Pemilik enterprise perlu membayar cukai diantara April ke Jun setiap tahun melalui form B. Kadar cukai enterprise bermula dari 0% sehingga 30%.

Dengan kadar cukai yang lebih rendah iaitu maksima 24% berbanding 30% bagi enterprise, Sdn Bhd seperti mempunyai kelebihan dalam pemilihan entiti. Oleh itu, pastikan anda membuat pilihan yang betul dalam memilih pendaftaran entiti perniagaan.

Syarikat Sdn Bhd