KEPENTINGAN AKAUN KEPADA BISNES
1) Dapat mengenalpasti kedudukan kewangan syarikat
Sangat penting kita kenalpasti kedudukan kewangan syarikat untuk mengelak dari kita membuat perbelanjaan yang tidak sesuai pada waktu dan mengelak dari masalah aliran tunai. Terlalu ramai perniaga yang mengalami masalah kena sekat dari membuat transaksi di bank disebabkan masalah baki bank yang tidak cukup untuk menampung perbelanjaan yang dibuat. Sangatlah menyukarkan urusan perniagaan jika urusan bank telah disekat untuk tempoh tertentu. Untuk mengelak perkara ini terjadi adalah penting akaun dikemaskini selalu.
2) Dapat membuat analisa dan perancangan
Melalui penyediaan penyata kewangan yang lengkap, kita dapat mengetahui dan menganalisa kewangan syarikat kita. Samaada kita bergerak dengan betul dan menguntungkan atau sebaliknya
3) Dapat mengenalpasti dan mengelak penyelewengan
Penyelewengan mudah berlaku jika tiada kawalan pada aliran tunai dan kawalan pada duit keluar. Jika akaun tidak dapat dikemaskini maka ia memudahkan pihak tertentu untuk mengambil kesempatan atas kelemahan yang wujud. Sebagai contoh, kerani kerap menyediakan bayaran pendahuluan pada pekerja syarikat. Disebabkan tiada rekod tentang bayaran pendahuluan tersebut. Maka tindakan untuk mendapat maklumat terperinci serta dokumen sokongan pada pekerja tersebut juga tidak dibuat. Akibatnya syarikat terpaksa menanggung kerugian disebabkan kelemahan pengurusan dan penyelewengan pekerja mereka.
4) Merancang percukaian syarikat bagi tahun semasa
Hakikatnya, syarikat mempunyai pilihan dalam memastikan jumlah cukai yang dibayar adalah tepat dan mengikut keuntungan yang sebenar bagi tahun semasa tersebut. Sekiranya syarikat mensasarkan cukai yang sepatutnya bagi tahun semasa, syarikat perlu memantau perbelanjaan dan pendapatan yang dikenakan cukai. Perkara ini hanya boleh dilakukan sekiranya syarikat sentiasa memantau akaun, corak pengaliran pendapatan dan perbelanjaan syarikat.
5) Merancang strategi pengurusan risiko
Setiap keputusan yang dibuat syarikat akan membawa risiko tersendiri. Risiko syarikat perlu diuruskan dengan bijak bagi mengelakkan berlakunya risiko yang tidak mampu ditanggung. Pemantauan akaun secara berkala perlu dilakukan. Sebagai contoh, risiko bankrupsi boleh diuruskan dengan mengetahui aliran transaksi duit masuk, memantau kutipan penghutang secara aktif, dan memantau transaksi duit keluar atau perbelanjaan.
6) Pinjaman mudah diluluskan
Dengan menyediakan akaun secara berkala, syarikat dapat merancang corak aliran kewangan syarikat bagi memastikan syarikat membuat keuntungan yang kukuh bagi tahun semasa. Ini penting bagi pihak bank untuk menilai pinjaman yang akan diluluskan. Selain itu,pihak syarikat perlu menyediakan akaun yang terkini kepada pihak bank. Antara kriteria lain dalam memudahkan kelulusan pinjaman ialah, akaun yang tersusun dan lengkap.